Aidiladha: PLUS Aktifkan SmartLane Bagi Lancarkan Perjalanan Pulang Beraya

Bagi memudahkan penyuraian kesesakan trafik yang dijangka berlaku pada cuti Aidiladha, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bakal mengaktifkan laluan SmartLane di lima lokasi kritikal di sepanjang lebuh raya.

Ia membabitkan di persimpangan Port Dickson hingga Seremban, persimpangan Senai Utara hingga Kulai, laluan Gua Tempurung hingga Gopeng, laluan Slim River hingga Sungkai serta Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Rawang ke Sungai Buaya.

Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, pengaktifan laluan itu untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong yang akan mengurangkan kesesakan trafik di laluan kritikal terbabit.

Pada pendapat anda, adakah Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dapat mengurangkan kesesakan jalan raya?

“Pertembungan trafik serta keadaan laluan sedikit mendaki menyumbang kepada peningkatan trafik yang tinggi, malah akan menyebabkan pergerakan kenderaan yang perlahan.

Menurut PLUS dalam satu kenyataan, kira-kira dua juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya PLUS pada hari-hari puncak iaitu 28 Jun (Rabu) dan 1 Julai (Sabtu), peningkatan 12 peratus berbanding jumlah kenderaan harian biasa sempena perayaan Aidiladha.

Sebagai langkah proaktif, PLUS telah menambah pasukan PLUSRonda untuk melakukan rondaan tambahan di lebuh raya.

“Kerja-kerja penyelenggaraan jalan dihentikan sementara antara 24 Jun dan 3 Julai, kecuali kerja-kerja penyelenggaraan dan kecemasan yang memerlukan tindakan segera demi keselamatan pengguna.

“Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) telah disediakan dan boleh dirujuk di laman web PLUS atau melalui saluran media sosial mereka bagi memastikan perjalanan pengguna lebuh raya berjalan lancar.

Pada pendapat anda, adakah Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dapat mengurangkan kesesakan jalan raya?

“Makluman trafik terkini juga akan disampaikan melalui paparan papan tanda elektronik lebuh raya, stesen-stesen radio, Twitter PLUSTrafik, media sosial dan Chatbot PUTRI,” jelas Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz.

Pada masa sama, PLUS mengingatkan pengguna lebuh raya untuk menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar lebuh raya.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 29 Jun 2023 bersamaan 10 Zulhijjah 1444H.