Sissy Iman Menangis Terima Komen ‘Membunuh’ Dari Mas Idayu

Pasangan sepupu, Naim Daniel dan Sissy Iman menerima kritikan yang sangat teruk daripada juri profesional, Mas Idayu  sewaktu membuat persembahan bertemakan ‘tradisional’ di pentas program Famili Duo, minggu keenam.

Pasangan itu dikatakan gagal mempamerkan persembahan yang baik sehingga menerima sergahan komen pedas daripada Mas Idayu yang membuatkan penyanyi, Sissy Iman tidak dapat menahan sebak kesedihan.

Difahamkan, penyanyi berusia 28 tahun itu bersama Naim Daniel mendapat kritikan selepas lagu nyanyian mereka iaitu Jampi gagal menambat hati juri.

Menurut Mas Idayu, dia tidak faham apa yang mereka berdua hendak sampaikan sewaktu melakukan persembahan selain menyifatkan lagu Jampi itu terlalu besar dan tidak sesuai dibawakan oleh kedua-dua penyanyi berkenaan.

Apa pendapat anda tentang kritikan Mas Idayu terhadap persembahan Sissy Iman dan Naim Daniel dalam program Famili Duo di minggu keenam itu?

Pun begitu, juri lain seperti Ajai memuji idea mereka yang mahu membawa kelainan ke versi keroncong walaupun ia kurang ‘menjadi’.

Rata-rata warganet meluahkan rasa berang dan kecewa dengan sikap Mas Idayu sebagai seorang juri profesional yang dikatakan sudah keterlaluan dalam memberi komen dan teguran kepada peserta tanpa memikirkan aib seseorang di khalayak ramai.

Teguh berdiri di belakang Sissy Imann, bapa penyanyi itu Mohammad Kamil Moustaffa tetap menerima setiap kekurangan mahupun kelebihan anaknya dengan hati terbuka.

Biar apa pun yang diperkatakan mengenai permata hatinya itu, di mata seorang bapa, penyanyi dan komposer tersebut tetap yang terbaik.

“Baik atau buruk, awak sentiasa menjadi yang terbaik buat saya,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.

Pada pendapat anda, adakah isu ini hanya untuk mencipta ‘drama’ sensasi bagi tujuan tular di platform media massa?

Masih berat menanggung kecewa gara-gara kritikan yang diterima, Sissy Iman, 28, membuat keputusan membatalkan pelancaran album sulungnya, bulan depan.

Menurut Sissy atau nama lengkapnya, Sissy Imann Mohammad Kamil, dia sudah hilang rasa teruja untuk berkongsi mengenai album yang dirakamkan di studio Abbey Road, London itu, meskipun segala persiapan untuk majlis pelancaran telah siap.

“Tuhan sahaja yang tahu betapa terujanya saya, tetapi keterujaan itu mungkin sudah hilang. Pagi tadi bangun, bila nampak CD itu, saya rasa tidak boleh tengok,” katanya dalam satu hantaran yang dibuat di Instagram.

Adakah anda akan membeli album sulung Sissy Imann sebagai tanda sokongan?

Menurut Sissy lagi, album tersebut dihasilkan menggunakan wang titik peluhnya sendiri selama 10 tahun berada dalam industri seni.

“Asalnya nak jual RM 50. Itupun tidak pulang modal, apatah lagi untung. Album ni memang menelan banyak sangat kos dan semua saya tanggung sendiri.

“Tetapi, saya tidak boleh melihatnya tanpa berasa sedih. Jadi, saya mahu ‘lepaskan’ album ini sebagai sumbangan,” katanya.

Juri Mas Idayu bertegas, setiap kritikan yang keluar daripada mulutnya bukanlah bersifat serangan peribadi, sebaliknya satu teguran ikhlas.

“Adakah saya mahu buat mereka gagal atau beri ilmu? Kita pun jangan buat tanggapan Sissy menangis disebabkan tidak boleh terima kenyataan atau kerana dia kesalkan persembahan sendiri.

“Kenapa saya garang? Saya mahu peserta ambil perhatian untuk tingkatkan persembahan.

“Itu bukan serangan. Saya ikhlas, cuba fikir di situ. Saya juga jadi diri sendiri dan tidak perlukan pandangan orang lain. Setakat ini produksi Famili Duo dan TV3 tiada komen dari segi cara mahu pun penjurian saya,” katanya.