Ketika ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia sedang menanti siapakah bakal perdana menteri yang baharu diumumkan, pelakon Puteri Sarah Liyana mencuri perhatian apabila menyatakan hasrat bertanding sebagai calon wakil rakyat pada pilihan raya umum akan datang.
Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 37 berkata, dia mahu bertanding bagi memperjuangkan hak dalam kalangan wanita memandangkan perkara itu dipandang remeh sebelum ini.
Menurut Puteri Sarah, 36, hasrat tersebut tercetus selepas melihat undang-undang yang mempertahankan hak golongan wanita di negara ini masih tidak kuat.
“Lagi lima tahun nak bertanding untuk pertahankan hak wanita perkara itu di Malaysia tidak kuat. Kena ada seseorang yang lantang untuk bercakap buat mangsa,” katanya.
“Perlu ada seseorang yang lantang bercakap untuk semua mangsa,” kata pemilik nama penuh Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu.
Bagi merealisasikan impian tersebut, dia berpendapat harus mendalami dan memahami selok-belok berkaitan undang-undang serta politik.
Tambah bintang drama Suri Hati itu juga, kelayakan dalam bidang pendidikan sangat penting sebelum menceburkan diri dalam dunia politik.
Menurutnya, dia terlebih dahulu akan menuntut ilmu di dalam bidang politik dan undang-undang sebelum ke dunia politik.
“Politik juga termasuk isu ekonomi, kesihatan dan banyak lagi. Lebih bagus sekiranya memiliki kelayakan diploma atau ijazah dalam bidang politik.
“Perlu juga tahu dari mana untuk bermula, bagi melihat apakah yang diperlukan dalam aspek ekonomi, psikologi dan sosial. Ada yang akan undi saya tak?” katanya lagi.
Sejak kisah pergolakan rumah tangganya menjadi topik hangat, isteri kepada pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof itu lantang bersuara dalam media sosial mengenai hak kaum Hawa yang menjadi mangsa penindasan dan keganasan keluarga.
Pergolakan rumah tangga Puteri Sarah dan suaminya, Syamsul Yusof berlarutan sejak empat tahun lalu selepas mendakwa muncul pihak ketiga mengganggunya bermula 2019.
Rentetan itu, dia mengambil tindakan undang-undang dan bakal mengheret wanita yang didakwa menjadi orang ketiga dalam rumah tangganya ke mahkamah pada tahun depan.