Selepas hampir sembilan bulan berteka-teki, pengacara sensasi Neelofa akhirnya mendedahkan wajah comel anak sulungnya Muhammad Bilal.
Neelofa menerusi Instagram miliknya pada malam Rabu meluahkan rasa sedih dan tergores melihat anak lelaki kesayangannya itu disakiti.
“Cinta dan sayang pada anakku Bilal Antara kecintaan tertinggi dan teragung ummi dalam hidup ini.
“Tiada yang lebih menyayatkan hati selain anak ummi ini disakiti, pasti semua ibu kasih dan cinta kan anak mereka apatah lagi sewaktu mereka kecil,” tulisnya.
Tambah Neelofa lagi, kehadiran Bilal dalam hidupnya merupakan hadiah paling indah dan berharga buat dia dan suami Haris Ismail.
“Jika kekayaan yang nak dibandingkan maka kaulah yang paling berharga buat ummi dan abah.
Neelofa juga menitipkan doa agar anaknya itu menjadi asbab agama Islam tersebar di seluruh dunia.
Neelofa menganggap mana-mana pihak yang mengkritik tindakannya menutup wajah anak sebelum ini seperti tidak mempercayai kewujudan penyakit ain.
Terdahulu, Neelofa menjelaskan dia dan suaminya tetap mahu mengutamakan kesihatan anak mereka biarpun dikecam netizen.
“Jika ada yang mempermainkan mengenai perkara itu, seolah-olah mereka main-mainkan kewujudan ‘ain’ la. Bukan mereka sindir saya sebenarnya.
“Malah hal itu di dalam hadis sahih pun sudah ada. Saya tidaklah arif sangat mengenai perkara ini, tapi perkara itu mungkin boleh melangkaui takdir.
“Saya tetap akan buat (tutup wajah anak) walau orang kecam macam mana sekali pun, kami fikir mengenai kesihatan serta kesejahteraan anak,” kata Neelofa.
Sebelum ini, wajah bayi yang didakwa sebagai Bilal tersebar apabila seorang pengguna TikTok memuat naik video di laman sosial berkenaan.
Neelofa menyifatkan perbuatan individu terbabit sebagai tindakan yang tidak menghormati dirinya yang juga ibu kepada Muhammad Bilal.
Neelofa mengakui perbuatan itu menyinggung perasaannya apabila keputusan memperkenalkan Bilal pada waktu yang sesuai, tidak dihormati sesetengah pihak.
“Sebagai ibu, semestinya perbuatan menyebarkan gambar itu menyinggung perasaan. Kalau terserempak atau terjumpa Bilal di luar, saya tak halang dan tidak akan sorok mukanya.
“Namun, apabila ada pihak yang memuat naik dan sebar dalam media sosial, ia seolah-olah tidak menghormati kami sebagai ibu dan ayah Bilal… Melangkaui kami pula.
“Saya terkilan… Seharusnya, mereka beri saya kesempatan sebagai ibu yang melahirkan untuk berkongsi sendiri wajah anak saya,” katanya.
Terdahulu, wajah bayi dikatakan Bilal tular apabila seorang pengguna TikTok didakwa memuat naik video seorang wanita sedang mendukung anak itu.
Video yang dikatakan dirakam secara sembunyi, dipercayai diambil di sebuah klinik, baru-baru ini.
Neelofa berkata, dia dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail sudah merancang untuk memperkenalkan Bilal.
“Memang akan sampai waktu itu. Saya dan suami sudah merancang masa yang sesuai untuk berbuat sedemikian.
“Tetapi, kenapa ada yang tetap mahu menjadi orang pertama?
“Saya akan bercuti dan melancong dalam tempoh terdekat. Apabila tiba masanya nanti, pasti saya akan kongsi kepada semua,” katanya.
Neelofa bagaimanapun tidak mahu isu membabitkan Bilal dipanjangkan.
“Kalau boleh, saya memang tidak mahu ulas perkara sama. Sudah banyak yang saya kongsi mengenai Bilal. Rasanya cukuplah apa yang sudah berlaku,” katanya.