Beberapa hari kebelakangan ini, tular mengenai filem “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” yang menerima pelbagai reaksi dan pujian ramai. Malah filem sejarah Melayu tersebut turut berjaya meraih tontonan dan kutipan sebanyak RM12.2 juta selepas 4 hari ditayangkan.
Siapa Mat Kilau sehingga difilemkan?
Mat Kilau ialah antara pahlawan Melayu yang menentang penjajah di Pahang. Perjuangan beliau menentang perkenalan cukai yang menindas oleh pihak penjajah ditemani rakan seperjuangan iaitu Dato Bahaman dan Tok Janggut.
Dengan sifat kepimpinan beliau serta keberanian beliau memperjuangkan hak rakyat Pahang ketika itu, masih dikenang dan diingati sehingga ke hari ini.
Ternyata filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ini menghadapi pelbagai cabaran sebelum berjaya dipersembahkan di layar perak sehingga mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan.
Bukan sedikit cabaran dihadapi dalam merealisasikan projek pembikinan filem yang mengangkat kisah perjuangan pahlawan Melayu, Mat Kilau, sejak kali pertama diumumkan pada 2007.
Berdepan pelbagai cabaran dan halangan sebaik penggambaran peringkat awal filem biografi epik itu bermula pada 2014 sebelum terhenti hingga bertukar pengarah, Mat Kilau di bawah garapan Syamsul Yusof, akhirnya menemui penonton di pawagam tempatan mulai 23 Jun 2022 yang lalu.
Mengimbas kembali, penerbit filem Mat Kilau, Studio Kembara mendapatkan khidmat Syamsul yang menggarap semula jalan cerita asal dan memulakan penggambaran pada 2017.Ternyata hasil karya ini membuahkan hasil sehingga menjadi buah mulut ramai.
Syamsul menerusi hantaran terbaharu dalam Instagram menzahirkan keterujaan apabila filem terbitan Kembara Studio dengan kerjasama Skop Productions tersebut terus mencipta magis dan mendapat tempat dalam kalangan penonton.
“Mat Kilau atasi kutipan filem Jurassic World dan Top Gun Maverick. Luar biasa!
“Ini kebangkitan penonton Malaysia, Singapura dan Brunei. Syukur Ya Allah,” tulisnya ringkas.
Walau bagaimanapun, filem tersebut tidak terlepas daripada kontroversi apabila pengarahnya Syamsul tidak dilihat ketika tayangan perdana filem itu.
Beliau memberikan alasan tidak sihat yang menyebabkan ketidakhadiran untuk majlis tayangan tersebut yang berlangsung selama enam jam di The Starling Mall pada 16 Jun.
Perkara tersebut bagaimanapun mencetuskan dakwaan bahawa kemungkinan Syamsul sengaja memberi alasan untuk tidak hadir ke majlis tersebut lantaran bimbang bakal diasak media tempatan kerana kontroversi skandal dengan anak pelakon Kazar Saisi iaitu Ira Kahar dan masalah rumahtangga dengan pelakon Puteri Sarah sehingga bapa Shamsul, Datuk Yusof Haslam turut diheret masuk ke dalam kontroversi ini.
Selain itu, filem ini juga turut menerima kritikan daripada beberapa pihak yang mengatakan tidak mengikuti sejarah.
Kontroversi bermula apabila poster Mat Kilau yang menampilkan Datuk Jalaluddin Hassan mendapat perhatian Presiden Pertubuhan Kebajikan Adat Budaya Malaysia, Pak Li. Dalam perkongsiannya di media sosial Facebook, individu tersebut mengkritik keris yang terselit di pinggang watak Jalaluddin Hassan dalam poster Mat Kilau.
Menurut dakwaan pihak tersebut, keris yang digunakan dalam filem tersebut adalah Keris Jawa, bukannya Keris Pahang, sepertimana yang digunakan pahlawan Melayu, khususnya Mat Kilau.
Sementara itu, Pertubuhan Silat Tapak Setia Suci (TSS), Warisan Mat Kilau turut tidak bersetuju dengan tayangan filem Mat Kilau. Menurut kenyataan yang dikeluarkan pengendali laman tersebut, Mat Kilau dikatakan “mempunyai banyak elemen yang menyakitkan mata”
“Kerana terlalu banyak elemen yang menyakitkan mata dalam filem tersebut. Bahasa mudahnya filem tersebut tidak dirujuk kepada waris yang mutlak dan dikaji secara mendalam. Sangat memalukan. Tiada jati diri sebagai seorang pahlawan Pahang langsung.”
Walaupun terdapat segelintir pihak yang mengecam filem ini, netizen dilihat terus memberi sokongan kepada tayangan Mat Kilau dan menyifatkan ia sebagai filem yang sangat dinantikan setelah sekian lama.
Faktor pelaksanaan PKP sebelum ini mungkin antara punca filem ini mendapat sambutan hangat dalam kalangan penonton.
Orang ramai kemungkinan ‘ketagih’ untuk menonton sebuah filem tempatan yang berkualiti setelah sekian lama. Penangan filem ini Dapat dilihat di media sosial gelagat penonton yang teruja untuk ke panggung wayang sehingga mengenakan busana pahlawan untuk menonton “Mat Kilau”.
Menerusi beberapa rakaman TikTok yang tular, ia memaparkan beberapa penonton datang ke pawagam dengan mengenakan gaya pemakaian yang sama dipakai orang Melayu ketika zaman Mat Kilau menentang penjajah British di Pahang.
Menjadi tanda tanya, mengapa filem-filem sebelum ini yang sukar mencapai kejayaan seperti filem “Mat Kilau” ini? Adakah filem selama ini kandungan hanya sekadar tangkap muat atau industri perfileman tidak mahu dinaik taraf?
Tambah Syamsul lagi, “Orang kita sebenarnya sayangkan filem pengkarya tempatan tapi mereka mahukan sesuatu yang betul-betul berkualiti. Saya tak nafikan dalam pada orang menyukai filem ini, ada juga yang mengkritik tapi saya tak kisah sebab itu semua sesuatu yang sihat untuk kemajuan filem tempatan.”
Sebelum ini, antara filem yang menerima kritikan hebat dari penonton filem “Rumah Madu Ku Berhantu” biar pun sebelum tayangan di pawagam.
Menurut penonton, poster filem tersebut yang tular akibat didakwa ala kadar ataupun ‘tangkap muat’ semata-mata membuatkan mereka ‘tiada selera’ apatah lagi untuk pergi menonton di pawagam.
Warga maya juga meluahkan kekecewaan mereka terhadap kualiti filem Melayu yang seolah-olah mendatar dan tiada perubahan. “Siapa yang p tengok wayang cerita ini aku rasa ada sesuatu yang tak kena la dengan citarasa dia..” tulis seorang netizen.
Melihat filem tempatan yang genrenya seakan sama beberapa tahun ini, tidak menerima sambutan hangat seperti filem “Mat Kilau”.
Filem indie Iban Dayak “Belaban Hidup” disoal kualitinya oleh pengkritik filem terkenal Zhafvlog walaupun menerima pelbagai anugerah perfileman di peringkat antarabangsa.
ZhafVlog tampil mengulas sebuah filem iaitu Belaban Hidup yang ditayangkan di Astro First. Menerusi video ulasan ZhafVlog, dapat dilihat dirinya yang kecewa dengan keseluruhan filem tersebut dan memberikan kritikan terhadap filem itu.
Video ulasannya itu mendapat perhatian ramai dan rata-ratanya bersetuju serta kecewa dengan filem Belaban Hidup itu. Mana tidaknya, filem tersebut tidak mencapai ‘standard’ walaupun dikatakan telah menerima banyak anugerah di luar negara.
Selain itu, filem Hanyut yang diadaptasikan daripada novel ‘Almayer’s Folley’ yang mengisahkan mengenai kisah seorang peniaga Belanda yang berjuang untuk meneruskan kehidupan di Asia Tenggara pada awal kurun ke-19.
Mengulas mengenai sambutan filem tersebut, pengarahnya U-wei Haji Saari berpendapat bahawa sesebuah karya itu mempunyai ‘jadualnya’ sendiri walaupun ‘terguris’ dengan sambutan yang dingin dari penonton.
Apa yang menarik untuk direnungkan mengenai fenomena “Mat Kilau” yang sedang hangat melanda negara ketika ini, “adakah silat menjadi faktor orang Melayu untuk menyokong filem ini selepas bosan dengan landskap politik negara yang bagaikan berpecah belah”?
Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Perak menyifatkan hanya seni silat mampu menyatukan masyarakat Melayu di negara ini.
“Saya terlibat agak lama dalam silat. Di mana-mana pun saya bercakap, kalau nak tengok orang Melayu bersatu, tengok silat. Kalau dalam silat pun orang Melayu tak boleh bersatu berhenti.
“Kalau bersatu sebab dalam politik, sudah tak ada harapan. Hanya silat yang tinggal untuk menyatukan orang Melayu,”
Sementara itu, Zainol Fadzi berkata, filem sejarah kepahlawanan seperti Mat Kilau perlu diperbanyakkan untuk mengingatkan orang Melayu supaya bersatu dan mengembalikan semangat mempertahankan agama serta tanah air.