Minggu pertama Aidilfitri telah berlalu, fasa pertama beraya di kampung halaman juga kini beralih ke bandar semula kerana kebanyakan anak rantau kini telah kembali bekerja.
Sambutan raya kali ini juga pastinya lebih meriah selepas dua tahun tidak dapat meraikannya lebih-lebih lagi beraya di kampung ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
Selain itu, Aidilfitri kali ini dilihat meriah kerana sejumlah besar rakyat dapat berbelanja sakan kerana dapat menggunakan wang yang diterima daripada inisiatif kerajaan Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mana sehingga RM10,000.
Duit raya merupakan tradisi yang wajib turun temurun setiap kali Aidilfitri menjelang tiba.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP), konsep memberi duit raya kepada ibu bapa, kaum kerabat dan kanak-kanak adalah menepati perbuatan sedekah dalam Islam.
Malah hukum pemberian duit raya kepada kaum keluarga dan jiran tetangga yang hadir berkunjung adalah harus. Dalam usaha menzahirkan syiar Islam menerusi kegembiraan memberi dan menerima sedekah, pemberian duit raya dapat mengeratkan silaturahim serta budaya kunjung mengunjung.
Biapun duit raya dapat mengeratkan tali persaudaraan sesama umat Islam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, umat Islam seharusnya mengutamakan golongan asnaf dalam kalangan kaum kerabat mereka terlebih dahulu, sebelum masyarakat luar dalam apa jua perkara.
Dalam pada itu, biarpun amalan tradisi ini dianggap sinonim dalam masyarat kita namun kadangkala ia menjadi bebanan kepada sesetengah pihak yang kurang berkemampuan.
Ini kerana terdapat segelintir pihak yang mempertikai jumlah duit raya yang diterima anak mereka.
Pada 9 Mei 2022, selebriti dan jutawan Neelofa berkongsi anak pertamanya, Bilal telah menerima duit raya berjumlah RM14,020 menerusi satu video yang dikongsi di platform Tiktok.
Menerusi perkongsian tersebut, kelihatan Neelofa dan suaminya, PU Riz sedang membuat kiraan duit raya yang diberikan kepada anaknya yang berusia tiga bulan itu.
Bagaimanapun perkara tersebut telah menjadi perdebatan ramai, malah tindakan tersebut didakwa sebagai riak dan sombong.
Terdapat juga dakwaan pengguna media sosial yang mempertikai kewajaran dan niat Neelofa berkongsi jumlah sebenar duit raya yang diterima anaknya itu.
Seorang warga maya, Asfsxxx mempersoalkan perbuatan Neelofa menunjuk duit raya yang diterima yang didakwa lagi tinggi Ain daripada melindungi wajah anaknya akibat kekhuatiran terhadap penyakit tersebut. Perkongsian tersebut kini tular dan dikongsi ramai di media sosial.

Ada juga yang menasihati dengan mengingatkan beliau untuk tidak menunjuk-nunjuk harta yang dimiliki.

Seperti yang dipesan oleh Ustaz Wadi Annuar, beliau mengingatkan agar perbuatan bermegah-megah dengan harta dijauhi.
Hal ini kerana perbuatan tersebut merupakan perbuatan yang dimurkai oleh Allah SWT.
Bersangkutan dengan hal berkaitan duit raya itu juga, penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus pernah mengingatkan kepada ibu bapa hukum menggunakan duit raya anak adalah haram. Biarpun begitu terdapat situasi dimana ibu bapa dibenarkan menggunakannya sekiranya dalam keadaan terdesak.
Menurutnya lagi, meskipun ibu bapa telah membesarkan anak tersebut sejak kecil lagi, mereka tidak berhak menggunakan wang hasil derma orang lain kepada anak mereka.
Malah pandangan yang sama juga dikongsi Dr Zulkifle Mohammad Al-Bakri yang mengatakan bahawa ibu bapa tidak boleh menggunakan wang anak mereka dengan sewenang-wenangnya.
“Jika ibu bapa menggunakan harta anak yang tidak menjadi keperluan, wajib keatas mereka untuk menggantikan kembali”, katanya.
Walau bagaimanapun, kita diingatkan agar sentiasa bersangka baik dan tidak menghukum secepatnya. Warga maya seharusnya lebih positif bagi memastikan platform maya menjadi suatu ruang yang positif untuk semua pengguna.