Sesiapa pun dalam dunia ini boleh mengkritik. Tidak kira pangkat, darjat atau keturunan seseorang. Lagi-lagi di alam maya terutamanya di laman media sosial
Sehari dua ini kecoh mengenai satu filem yang mencetuskan fenomena buat yang meminati sejarah pahlawan orang Melayu.
Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan kini mempunyai dua puak penyokong dan pengkritik iaitu pembelanya ketika di panggung serta penyanggahnya selepas ia ditayangkan di kaca televisyen.
Tinjauan di Twitter mendapati, rata-rata penonton yang dipercayai baru pertama kali menonton filem itu di televisyen mendakwa kurang berpuas hati dengan kualiti filem tersebut.
“Baru habis tengok Mat Kilau. Sinematografi babak aksi kucar-kacir. Pelakon gerak sekali, kamera gerak 10 kali,” kata Burhan.
“Baru lepas tonton Mat Kilau, biasa-biasa saja. Aksi berlawan terlalu kuat, dialog pula asyik marah-marah. Kesudahan cerita pula macam tergantung,” kata salah seorang pengguna Twitter.
“Yang menghina ni ilmu perfileman pun nak kata asas pun tiada.”
Demikian kenyataan pengacara Finaz Yunus terhadap sikap segelintir penonton filem tempatan terhadap maklum balas diberikan pada filem Mat Kilau.
“Bukanlah nak kata tidak boleh mengkritik, namun biarlah kritikan itu konstruktif tanpa nada memperli dan menghina. Mana ada filem yang sempurna” katanya.
Finaz menerusi hantaran di Instagram berkata, apa yang masyarakat dan penonton perlu beri perhatian adalah mesej yang ingin disampaikan dalam filem itu.
Namun, ada pengguna media sosial yang turut melontarkan pandangan positif malah mereka turut akui filem epik sejarah tersebut adalah filem terhebat yang dihasilkan oleh pengarah tempatan.
“Aku tak kisah, memang lah ada orang cakap Mat Kilau ni dapat pujian di pawagam lepas ada dekat TV ni lain jadinya.
Meskipun banyak komen negatif, Syamsul berkata, dia tetap gembira apabila filem sentuhannya menjadi topik bualan ramai sehingga tular di Twitter.
Bagi Syamsul, dia tetap berterima kasih kepada penyokong yang menonton filem Mat Kilau, biarpun apa sahaja reaksi yang dilontarkan.
Lantas, apa yang dimahukan oleh penonton sebenarnya. Buta seni itu bukan satu dosa tetapi yang membuatkan kita nampak kurang cerdik apabila bercakap sesuatu perkara yang kita tidak ada langsung ilmu mengenainya.
Apa yang pasti, filem ini telah berjaya menjentik hati rakyat Malaysia. Apatah lagi dalam menilai sesebuah filem, masing-masing ada selera berbeza.
Namun biarlah pandangan tersebut membina dan bukan menghentam. Setiap filem, pengarah, pelakon ada kekuatan dan kelemahan. Tidak bagus untuk mengecam Mat Kilau tanpa mengambil kira sumbangannya.